Sabtu, 7 Ogos 2010

Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah



Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat
MUQADDIMAH

Semua pihak dari kalangan anggota Harakah Islamiyah di seluruh dunia berpendapat betapa besarnya peranan tarbiyah dalam menjamin kemurnian dalam memenuhi matlamat dan cita-cita Islam sepanjang zaman.

Ini kerana tarbiyah menanam dan memperkukuhkan pergantungan yang kuat dari aspek aqidah dan memenuhi syarat-syarat kemenangan kepada janji Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami katakutan (dari ancaman musuh).Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasulullah; supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Nur: 55 – 56)

Walaupun urusan yang silih berganti dan berlakunya pasang surut dalam arena sejarah dan perkembangan umat Islam, namun Islam tetap dipelihara dan terpelihara mengikut sunnatullah dan harapan kemenangan tetap akan berlaku.

Oleh itu, kita mestilah mempunyai harapan dan percaya janji kepada Allah s.w.t. yang akan memberi kemenangan kepada Islam, walaubagaimana besarnya cabaran yang akan dihadapi oleh perjuangan Islam, dan walaubagaimana ketat dan ganasnya tindakan musuh, namun kerana kebesaran Islam itu adalah dari Allah s.w.t. Yang Maha Besar, maka tidak mungkin menghalang janjiNya yang pasti ditunaikan di dunia dan di akhirat.

Kita juga mestilah menyedari bahawa pertarungan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah itu terus-menerus berlangsung mengikut cara pada zaman masing-masing.

Maka, perubahan zaman dan cara inilah memerlukan berlakunya tajdid dalam Harakah Islamiyah, bagi berdepan dengan cara, taktik dan strategi yang sentiasa diubah oleh penentangnya.

Fahaman sekular yang menjadi senjata berbisa dengan pelbagai ideologinya yang telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke dalam roh, akal, budi dan tindak-tanduk umat Islam melalui serangan pemikiran (ghazwu al-fikri) yang meminda caranya dari pemisahan agama dan politik secara total, kepada menghormati arus kebangkitan Islam yang berlaku di mana-mana supaya tidak menongkah secara berdepan.

Sebaliknya mereka telah menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya setempat untuk memesong umat Islam dari landasannya.

Dengan cara ini mereka telah berjaya menipu kalangan cerdik pandai, ahli politik dan ahli akademik termasuk para ulama’ sehingga mereka tidak bersimpati kepada perjuangan Islam yang tulen melalui parti Islam di mana-mana dengan berbagai anggapan yang direka-reka.

Bekas Perdana Menteri Mesir, Dr. Mustafa Khalil pada tahun 1981, bersama Menteri Luarnya pada masa itu, Dr. Butros Ghali menghadiri satu forum bersama beberapa orang professor Yahudi di Israel yang pakar mengenai politik Asia Barat itu pernah menyatakan:

“Saya ingin menerangkan kepada saudara-saudara sekalian, bahawa kami di Mesir tetap memisahkan di antara kepentingan agama dan kepentingan kebangsaan, dan kami tidak menerima sama sekali kepimpinan politik yang berlandaskan kepada kepercayaan agama.”

Profesor Tpi Yafut dari kalangan Yahudi Israel menjawab:

“Menjadi satu kesilapan besar kalau diteruskan usaha memisahkan agama dan kepentingan kebangsaan. Rantau Asia Barat menjadi tempat kelahiran agama-agama samawi bukanya tempat fahaman nasionalisme.”

Begitulah kepekaan musuh Islam tentang reality dan menyedarkan pemimpin negara umat Islam seperti Mesir tentangnya. Sebenarnya, itulah yang akan dialami oleh seluruh dunia Islam, termasuk rantau kita, dengan perubahan teknik dan strategi yang selaras dengan kebangkitan Islam yang berlaku.

Maka, musuh dari dalam dan luar mempunyai rancangan dan taktik serta strategi yang sentiasa diperbaharui.

Bagi menjuruskan perbincangan tentang tarbiyah, apakah cabaran dan persiapannya? Sukacita ditegaskan bahawa perlunya kita melakukan tajdid, bagi membina fahaman kita sendiri dan masyarakat yang mejadi sasaran, manakala bidang-bidang yang lain seperti peneranganm pilihanraya dan sebagainya boleh disediakan dan dilakukan tindakannya oleh pihak lain.

Pembahagian perbincangan tersebut adalah seperti berikut

Tajdid dalam Perkara Aqidah

Dalam pengajian Aqidah Islamiyah yang sebenar, kita tidak boleh berganjak daripada prinsip aqidah yang telah dinaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran di zaman seluruh nabi-nabi dan rasul-rasul sehingga Hari Kiamat. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Al-Quran dan sirah Rasulullah s.a.w. telah menerangkan secara jelas dan terperinci cabaran penentang aqidah dari kalangan musyrikin yang dilihat dengan nyata amalan syiriknya, golongan ahli kitab yang memahami ajaran agama memainkan peranan yang sangat mengelirukan dan golongan munafiqin yang mengadakan projek Islam Masjid Dhirar untuk mengelirukan sahaja tanpa matlamat Islam.

Tajdid dalam memahami dan menerangkan perkara aqidah mestilah mengikut cabaran semasa. Golongan musyrikin tidak lagi berupa Firaun yang mengaku menjadi tuhan atau abu Jahal dan pengikutnya yang menyembah berhala.

Tetapi ianya diperbaharui dengan fahaman maddiyah yang menjadi berhala baru yang dipuja, sehingga mempengaruhi matlamat hidup dunia dan akhirat, kepercayaan dalam perkara rezeki dan kepentingan yang amat menjejaskan aqidah umat dan menggugat bukan sekadar di kalangan umat Islam secara umum, bahkan para pendakwah dan pejuang Islam juga akan turut tergugat.

Penyelewengan ahli kitab bukan sekadar di kalangan penganut ahudi dan Nasrani yang menjual agama Allah dengan dunia dan kemewahan yang dikejar, tetapi juga wujud di kalangan umat Islam iaitu para ulama’ jahat (ulama’ su’) yang boleh dipergunakan oleh musuh.

Dalam memahami cabaran ini, kita perlu meneliti sejarah peranan para sahabat r.a. dan generasi ulung umat Islam. Walaupun tanpa penyertaan Rasulullah s.a.w. kerana kewafatan baginda, namun mereka dapat memahami setiap perkembangan semasa mengikut zamannya.

Mereka menyambung jihad menegakkan negara Islam dan mempertahankannya tanpa dapat digagalkan oleh kuasa besar Parsi yang mempertahankan syirik dan Rom yang mempertahankan ahli kitab serta golongan riddah yang masih mengucap dua kalimah syahadah, melaungkan azan, mendirikan sembahyang dan perkara-perkara lain tetapi hanya menafikan hukum wajibnya zakat sebagai salah satu daripada rukum Islam dan hukum Islam di samping menolak agama secara menyeluruh.

Generasi selepasnya boleh menghadapi cabaran kelahiran perpecahan dalam masyarakat Islam kerana kesan daripada perkembangan politik dalam masyarakat Islam sendiri sehingga melahirkan fahaman Syiah dan Khawarij.

Di zaman Abbasiyah pula, melalui saluran perterjemahan ilmu asing secara silap tanpa penapisan lahir pula golongan Muktazilah, Jabariyah dan sebagainya. Namun, kemurnian aqidah negara dan umat dapat dipertahankan walaupun rupanya berbeza.

Tetapi gerakan tajdid yang berlaku dalam perkara aqidah ini dapat mempertahankan fahaman yang istiqamah dan memahami segala penyelewengan aidah yang dipinda caranya.

Kini, kita masih lagi berdepan dengan anggapan bahawa tidak menjejaskan aidah bukan sahaja dalam menganut ideology bukan Islam, tetapi juga menolak hukum yang dinaskan di dalam al-Quran dan hadith seperti qisas dan hudud, dan mempersendakan amalan cara Islam seperti memisahkan kaunter pembayaran lelaki dan wanita dengan berbagai-bagai alasan.

Sedangkan kitab-kitab aqidah menegaskan bahawa iman terbatal dengan mempersendakan ajaran Islam walaupun dalam perkara sunat, makruh dan harus. Ini menunjukkan pengajian Islam sebenarnya tidak diselaraskan denga tajdid dalam memahami Aqidah Islamiyah dan pengajiannya.

Oleh itu, maka tarbiyah dalam perkara aqidah melalui huraiannya dalam pengajian dan penerangan mestilah dengan penuh kebijaksanaan untuk memahamkan perkara ini dalam konteks semasa, reality dan situasinya.

Tajdid Dalam Perkara Amal

Kita tidak perlu menjelaskan di sini dalam memahami amal fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, fardi dan jama’I, yang sudah ada nas yang jelas pada prinsipnya dan huraiannya serta khilafiyah dalam perkara furu’nya oleh para ulama’ dalam semua mazhab di dalam kitab-kitab yang telah dikarang.

Seperti perkara-perkara sembahyang lima waktu, sembahyang sunat, sembahyang berjamaah, sembahyang jenazah dan urusannya, haramnya riba’, judi, arak dan lainnya, wajib berjihad apabila negeri telah diserang oleh musuh Islam secara bersenjata. Dalam perkara ini masyarakat Islam sangat kaya dengan penulisan dan lisan.

Apa yang menjadi masalah ialah mengajak beramal untuk turun ke dalam gelanggang masyarakat yang telah diharu-birukan oleh gejala-gejala akhlak, kefahaman dan sikap berkecamuk kesan daripada serangan pemikiran moden melalui politik, ekonomi, pendidikan, media massa dan berbagai-bagai aktiviti yang boleh menjejaskan aqidah dan amal Islam.

Amal yang memerlukan angkatan penyelamat yang diwajibkan oleh Allah s.w.t.:

Maksudnya:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali ‘Imran: 104)

Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. perlunya amal fardi (individu) secara fardhu ‘ain dengan sabdanya:

Maksudnya:

Hadith Abu Said r.a. : Diriwayatkan daripada Tariq bin Syihab r.a. katanya: Orang pertama yang berkhutbah pada Hari Raya sebelum sembahyang Hari Raya didirikan ialah Marwan. Seorang lelaki berdiri lalu berkata kepadanya: Sembahyang Hari Raya hendaklah dilakukan sebelum membaca khutbah. Marwan menjawab: Sesungguhnya kamu telah meninggalkan apa yang ada di sana. Kemudian Abu said berkata: Orang ini benar-benar telah membaalkan apa yang menjadi ketentuan kepadanya sedangkan beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka di ahendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Di samping secara jama’i (organisasi) sebgaimana ayat yang tersebut dan ayat-ayat yang lain dan beberapa hadith Rasulullah s.a.w., di antaranya ialah peristiwa Bai’ah al-‘Aqabah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) dimasa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Hadith ini menjelaskan amal Islami dalam konteks sikap individu sehinggalah tuntutan ke peringkat mendirikan negara dan masyarakat Islam dengan besedia memenuhi tuntutan dan mengahdapi segala cabarannya seperti yang kita mahu lakukan dalam parti kita, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Bagi memperincikan sifat-sifat yang perlu ada dalam setiap pejuang Islam, ianya merupakan buah daripada iman yan ikhlas iaitu:

1.Ketaatan secara mutlak kepada Allah s.w.t. dan RasulNya

2.Ketaatan kepada kepimpinan

3.Keikhlasan

4.Pengorbanan

5.Jihad

Sifat-sifat yang perlu dihindari pula ialah:

1.Derhaka

2.Tidak ikhlas

3.Pemalas

4.Bakhil

5.Penakut

Perkara Persekitaran

Kita keluarkan dahulu dari perbincangan kita, mereka yang berada dalam anggota masyarakat yang bernama Islam yang tidak peka dan tidak mempunayi kesedaran langsung dalam perkara ini yang lebih cenderung menjadi pencabar agama Allah s.w.t. daripada menjadi Ansarullah (penolong Allah).

Ramai mereka yang memilih iman yang lemah iaitu sekadar membenci di dalam hati walaupun mempunyai kemampuan. Ada pula yang melibatkan diri secara sambil lewa, tidak menyeluruh dan teragak-agak.

Samada secara individu atau menubuhkan kumpulan Islam dengan memberi penekanan dalam perkara dakwah sahaja ke arah mengajak kepada Islam secara borong tanpa memahami cara yang sepatutnya diberi kepada Islam dan meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya. Ada pula yang memberi penekanan dalam aspek tertentu tanpa mengikut kesempurnaan yang ada dalam ajaran Islam.

Samada kerana kejahilan atau pengecut dan tidak bersedia menghadapi kesukaran dan memberi pengorbanan kepada amal Islam. Allah s.w.t. sahajalah yang mengetahui apa yang tersirat di dalam hati mereka yang menjadi sebab-sebab dan punca yang mengganggu perjalanan kebangkitan Islam dan boleh memesong perjalanannya.

Kita sangat-sangat mengalu-alukan mereka yang menjadi pembantu kepada kerja-kerja Islam dan menjadi salah satu daripada mata jamaah Islam yang lebih besar dan menyeluruh.

Kita mestilah memungut sebanyak mungkin dari kalangan mereka, orang-orang yang boleh menjadi ahli kita atau pengikut atau bersimpati kepada perjuangan kita dan mengambil jalan tidak bermusuh dengan mereka sehingga meramaikan lagi jumlah musuh, atau terdapat mereka yang boleh diambil kesempatan oleh musuh sehingga boleh menjadi alat untuk menentang kita.

Perkara Dalaman

Terdapat juga perkara dalaman parti yang masih belum selesai. Adapun perkara individu ahli seperti tidak ikhlas, ‘ujub, riak, hasad, tamak dan lain-ain terpulanglah kepada diri masing-masing untuk membuat muhasabah dan membaiki diri sendiri.

Perkara ini sangat perlu kerana perjuangan PAS tidak ada elaun dan upah kebendaan (maddiyah) yang ditetapkan.

Terpulang kepada masing-masing membetulkan diri sebelum mati. Penekanan perlu diberi kepada perkara dalaman parti, yang masih belum selesai sebelum kita menghadapi pilihanraya tahun-tahun yang akan datang.

Masih ada yang seperti tidak faham bahawa di dalam ‘amal jama’i ada perkar-perkara yang dinaskan oleh al-Quran, al-Hadith, ijma’ para ulamak dan Qias yang nyata menjadi hukum tertinggi menurut undang-undang tubuh PAS.

Adapun perkara yang tidak dinaskan seperti keputusan-keputusan yang diambil dalam perkara urusan pentadbiran, pengurusan dan beberapa tindakan dalam perkara-perkara taktik dan strategi diputuskan oleh kepimpnan secara individu atau secara syura yang telah menjadi keputusan yang wajib dipatuhi mengikut prinsip ketaatan dan berbai’ah kepada parti.

Walaupun begitu, masih ada yang tidak mematuhi secara individu atau kumpulan sehingga memerlukan adanya tindakan disiplin yang tegas perlu diambil walaupun tindakan disiplin adalah penyelesaian terakhir, demi kepentingan parti kerana ianya boleh menghalang kelancaran dan penyelarasan perjalanan organisasi.

Semua perkara ini adalah menjadi perkara dalaman yang menjadi cabaran yang berterusan, yang kadang-kadang boleh melambatkan kemenangan atau tidak layak mendapat janji kemenangan dari Allah s.w.t. Yang Maha Penyayang kepada perjuangan Islam dan penyokongnya.

Maka suatu kajian perlu dibuat dari semasa ke semasa supaya dikenalpasti adakah kerana kelemahan dalam proses tarbiyah yang tidak mencecah kesedaran dan kefahaman ahli atau kelemahan daripada mereka sendiri. Dengan kajian ini, tindakan yang komprehensif dan terancang rapi mampu diwujudkan untuk menyelesaikan segala kelemahan yang wujud.

Tajdid Dalam Perkara Taktik Dan Strategi

Dalam menangani perkara ini kita perlu mengambil kira hal-hal yang tersebut di atas yang wujud dalam parti atau masyarakat Islam yang boleh menganggap parti Islam ini asing daripada mereka. Maka, gerakan parti yang dilakukan di semua peringkat seperti dewan-dewan dan lajnah-lajnah disusun dan diselaras dengan rapi di samping peranan melalui bidang masing-masing.

Semuanya mempunyai hubungan yang erat supaya program-program tarbiyah parti pada masa akan datang manjadi lebih berkesan di samping melihat kepada tindak tanduk pihak kerajaan yang mahu bermusuh dengan kita samada dengan perangai lama atau baru muncul seperti melaksanakan undang-undang dan tindakan yang telah sedia ada atau melaui perkembangan lebuh raya maklumat, di mana semuanya menjadi cabaran padahari-hari yang akan datang.

Insya’Allah, banyak lagi program tarbiyah yang telah sedia ada wajib diteruskan kerana keberkesanannya yang nyata dalam mempertahankan kewibawaan parti dan meningkatkan prestasinya dan boleh menghadapi segala cabaran tersebut.

Dalam persediaan individu kita perlu meningkatkan diri dengan mengambil contoh sifat-sifat wajib bagi Rasul s.a.w. iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Sifat-sifat ini adalah keperibadian unggul dalam mencapai cita-cita dakwah dan ketahananya dalam menghadapi segala cabaran.

Maka setiap ahli akan menjadi anggota parti yang dijalin dengan ikatan yang teguh sehingga membina kekuatan jamaah yang mampu mencapai dan mengisi kemenangan.

Program Tarbiyyah

Dalam merealisasikan tarbiyah Islamiyah yang menepati prinsip aqidah dan mencapai matlamatnya, maka dicadangkan program-program berikut:

1.Tarbiyah Dalaman

Penekanan kepada aqidah dan membentuk Syakhsiyah Islamiyah Harakiyah Jama’iyah. Program berkaitan yang boleh dijalankan adalah:

a)Kelas-kelas pengajian

b)Usrah

c)Tamrin dan daurah tadribiyah

d)Liqa’ al-fikri

Program ini disasarkan kepada kepimpinan di beberapa peringkat danjuga ahli-ahli di semua peringkat, dewan ulama’, pemuda, muslimat dan pelajar-pelajar.

2.Tarbiyah Untuk Masyarakat Umum

Ia bertujuan memberi kesedaran Islam dan kefahaman yang betul kepada masyarakat umum sehingga menyertai PAS atau menjadi penyokong. Antara aktiviti yang sesuai dijalankan untuk sasaran ini adalah seperti berikut:

a)Pengajian umum

b)Program pengajian ILHAM dan lain-lain

c)Sekolah

d)Pusat pengajian yang dikendalikan oleh ahli-ahli PAS

e)PASTi

Antara masalah yang perlu diatasi adalah:

a)Manhaj tidak sampai ke bawah

b)Trend luar

c)Secara persendirian

d)Keberkesanan

e)Kelembapan

Penutup

Demikianlah secara ringkas tajuk ini disediakan huraiannya untuk menjadi bahan perbincangan mudah-mudahan diberi manfaat, taufiq, hidayah dan istiqamah.



0 ulasan:

Catat Komen