Jumaat, 2 Julai 2010

Isu Judi

Mendidik Rakyat menjauhi Judi
Ditulis oleh Kenyataan Bersama
FRIDAY, 02 JULY 2010 10:03

KENYATAAN MEDIA BERSAMA PUSAT PEMBANGUNAN KEBUDAYAAN LLG,
DEWAN PERHIMPUNAN CINA KUALA LUMPUR DAN
SELANGOR DAN TAMIL FOUNDATION
MENDIDIK RAKYAT MENJAUHI JUDI
02 Julai 2010


Dengan adanya bantahan daripada Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dan pelbagai pertubuhan masyarakat madani yang lain, akhirnya kerajaan akur kepada kehendak masyarakat dan seterusnya menarik balik lesen judi bola yang mencetuskan kontroversi selama ini. Kami memberi pujian dan mengalu-alukan kejayaan ini.


Kami berpendapat bahawa gerakan membantah judi bola telah mencapai tujuan asalnya. Sekiranya ada pihak ingin meneruskan gerakan membantah judi, ia perlulah ditangani melalui pendekatan pendidikan dan kempen meningkatkan kesedaran rakyat, bukan menganjur dengan menghapuskan segala bentuk judi melalui pelaksanaan kuasa pemerintah. Kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengenakan piawaian moral yang terlalu rigid dan bersifat dualisme mudah tanpa mengambil kira latar belakang budaya dan kepercayaan yang berbeza. Ini harus dielakkan dalam satu masyarakat yang mendukung prinsip kebebasan dan demokrasi.


Tidak dinafikan, judi adalah gejala buruk sosial yang boleh menyebabkan kemerosotan nilai moral serta membawa porak peranda kepada rumahtangga. Inilah konsensus yang dipegang dan masalah sosial yang dihadapi oleh semua kumpulan etnik. Bagi mengatasi ketagih berjudi, program pendidikan jangka panjang perlu direncanakan untuk memupuk nilai-nilai humanisme dan budaya kehidupan sederhana dan sihat dengan menentang sikap materialisme dan budaya memanjakan nafsu.


Secara relatifnya, anjuran mengharamkan segala bentuk judi mungkin akan mendatangkan dampak yang besar ke atas proses transformasi demokrasi yang menjadi sasaran utama masa kini. Inilah yang tidak diingini oleh semua pihak yang menjunjung prinsip dan nilai demokrasi. Dikhuatiri tindakan pengharaman judi akan semudahnya dilabel sebagai menyokong gagasan Negara Islam, sekaligus menyebabkan perjuangan agenda reformasi hilang fokusnya dan kekuatan reformasi akan dipatahkan dengan mudah. Secara tak langsung, ia juga mengetepikan isu-isu yang lebih mendesak dan memberi dampak kepada kesemua rakyat seperti rasuah, kronisme, ketidakadilan sosial, penindasan terhadap penyokong demokrasi dan golongan terpinggir. Ini tidak mendatangkan faedah bagi mewujudkan Barisan Bersatu Pelbagai Kumpulan Etnik yang berlandaskan nilai demokrasi yang progresif.


Dato’ Dr. Toh Kin Woon
Presiden
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG


Tan Yew Sing
Presiden
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor


Arumugam Kalimuthu
Penasihat
Tamil Foundation

Ada ke pimpinan MCA dan MIC keluar kenyataan macam ini???

0 ulasan:

Catat Ulasan